Monday, September 9, 2019
Lawatan ke kawasan bersejarah sekitar Masjidil Haram
Empat hari sebelum penerbangan pulang, Allah beri rezeki dipertemukan dengan seorang Ustaz, yang juga pelajar pengajian AlQuran di Mekah. Beliau berhasrat untuk membawa kami menziarahi tempat- tempat peninggalan nabi dan keluarganya, yang jarang- jarang diketahui. Tempat-tempat ini tidak dilabelkan oleh kerajaan Arab Saudi dibimbangi jemaah melakukan perkara-perkara khurafat.
1. Rumah Siti Khadijah
Rumah Saidatina Siti Khadijah, isteri nabi terletak berhampiran pintu Babus Salam dan dihadapan tandas wanita. Tempatnya berbonggol dan ditutupkan dengan mozek petak kecil. Menurut Ustaz, kayu-kayu dan batu binaan masih ada di bawah bonggolan tersebut. Ramai jemaah mengambil kesempatan bersolat di kawasan tersebut memandangkan ini adalah salah satu antara tempat mustajab doa.
2. Rumah Kelahiran Nabi
Rumah ini adalah tempat lahir nabi... iaitu rumah Saidina Abi Talib. Rumah ini dijadikan perpustakaan oleh seorang penulis khat yang telah memdapat perkenan Raja Arab Saudi sebagai balasan kepada hadiah tulisan khat yang beliau buat untuk Raja tersebut.
3. Seterusnya kami ke Masjid Jin atau dikenali dengan nama Masjid Bai'ah. Agak jauh juga berjalan dari kawasan Masjidil Haram ke Masjid ini. Masjid ini dinamakan sedemikian kerana perjanjian ketua jin dan kumpulannya yang menerima agama Islam lalu membuat perjanjian dengan Nabi SWT untuk menerima Islam. Kami melalui tapak Masjid Kucing yang dahulunya banyak kucing-kucing berkumpul di sekitar masjid sejak zaman sahabat Nabi. Kini Masjid Kucing telah dirobohkan.
Masjid Jin/ Masjid Al Bai'ah
Dalam hati ada terfikir, "Macamanalah nanti kalau terjumpa jin tu betul-betuk". Cepat-cepat hati ini beristighfar, janganlah fikir yang bukan-bukan di Tanah Haram ini.
4. Disebelah Masjid Jin, adalah Tanah Perkuburan Makla, tempat bersemadinya isteri tercinta Nabi, Siti Khadijah Radhiaallhuanha. Hanya jemaah lelaki sahaja dibenarkan masuk. Kami jemaah wanita dibenarkan melihat dari pagar perkuburan sahaja.
5. Akhir sekali, lawatan kami berakhir dengan melawat tiang jin dalam Masjidil Haram. Kedudukannya agak sukar dilihat memandangkan banyak lagi pembangunan dan pembaikan yang sedang dijalankan di dalam kawasan masjid. Tiang-tiang tersebut berbalut.
Selepas solat sunat dua rakaat, kamipun pulang ke hotel penginapan. Disebabkan kepenatan, saya tertidur dan bermimpi..... sekumpulan jin perbagai bentuk menyapa dan mengusik. Mak dan rakan-rakan sebilik mengejutkan saya dengan penuh kerisauan kerana menurut mereka saya mengigau dan mulut saya membaca Al Fatihah dalam tidur. Hemmmm.... Alhamdulillah tak jadi apa-apa.
Monday, August 20, 2018
Ribut Pasir dan Hujan di Bumi Arafah
Maktab 82 bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah jam 12 tengahari. Kami tiba dalam pukul 1.30 petang dengan menaiki bas. TH telah menguruskan pergerakan dengan baik sekali. Sampai ke kemah di Arafah kami duduk di tempat yang ditentukan. Lelaki dengan lelaki dan perempuan berasingan kemah. Satu kemah dihuni oleh 300 hingga 360 jemaah.
Kami berehat di kemah sambil berzikir dan aku boleh je tidur dalam ramai-ramai hingar bingar tu. Dalam pukul 4.30 petang aku keluar dengan suami melihat-lihat kawasan mengenal pasti tandas dan tempat memgambil air panas.
Menjelang maghrib angin bertiup kencang menggoncangkan dinding-dinding kemah diikuti dengan ribut pasir dan hujan. Kami diberi dugaan black out..... mungkin overload. Maka keluarlah segala gadget jamaah, lampu suluh, kipas angin pelbagai jenis.... Kemanisan dalam dugaan Allah SWT.
1/9/2018 - Kembali bersiaran.... setelah 2 minggu menumpu kepada ibadat Rukun Haji.
Semasa ribut melanda, bekalan elektrik diputuskan oleh pihak bomba Arab Saudi sebagai langkah keselamatan. Angin kencang berlarutan dalam 1 jam. Sepanjang tempoh tersebut doa dipanjangkan kepada Allah SWT supaya kami diselamatkan. Kemah di Arafah yang besar ini seolah-olah nak terbang. Alhamdulillah Allah selamatkan. Bila keadaan kembali tenang, kami solat hajat memohon keampunan dan keselamatan.....
Aku keluar untuk ke tandas. Zing penghadang dah tumbang dek ribut. So, kene la pergi ke tandas dua tingkat, jauh sedikit. Alhamdulillah org tak ramai, so takde la kena beratur panjang.
Masuk kemah semula, ramai jemaah dah mula berehat dgn pelbagai aktiviti masing-masing. Akupun mula mencari port yang sesuai dan tertidur dengan segala gadjet yg ada (kipas dan bantal angin) untuk mengumpul tenaga bagi Wukuf keesokan harinya. "Haji itu adalah Arafah"....
Saturday, August 18, 2018
Menjelang Wukuf di Arafah dan Aktiviti Wajib Haji....
Friday, August 17, 2018
Kisah Sejadah Yang Hilang....
Allah memberikan petunjuk supaya aku sentiasa bersyukur.....
Oleh kerana karpet di Masjidil Haram dicuci, kami bawa sejadah yang dibekalkan oleh TH. Walaubagaimanapun, sejadah tersebut agak nipis dan mudah beralih dalam setiap pergerakan solat. Saya berhajat membeli sejadah tebal untuk dibawa ke Masjidil Haram. Sebaik sahaja beli, test sejadah baru solat kat bilik. Baru terperasan imej-imej lukisan tu seakan gambaran muka haiwan (lembu)..... maka tukar posisi yg kosong letak utk tempat sujud.
Nak jadi kisah, maka bawalah sejadah tu ke Masjidil Haram untuk umrah sunat. Bila nak solat sunat tawaf baru sedar, sejadah tu dah hilang.... redha.
Dalam perjalanan balik, tiba-tiba ada keluarga sedang mengagihkan sejadah untuk disedekahkan dilaluan saya dan suami balik. Kami dapat sejadah baru. Suami kata.... "Allah dengar/ tahu U sedih sejadah baru hilang. Dia dah gantikan lain." Masyaa Allah...😢
Sesampai bilik, bagitahu mokcik-mokcik bilik sejadah baru dah hilang tapi dah dapat ganti lain. Sorang makcik bilik ni kata, "Allah dengar Dora dok ccakap sejadah ada mata.... macam imej haiwan. Allah ganti lain.... Allah Maha Mendengar....."
Allah! sekali lagi 😢
Apa lagi nikmat yang ingin kau dustakan?.....
Solat Jumaat di Makkatul Mukarramah
Solat Jumaat menjelang Hari Tasyrik, amat mencabar jemaah lelaki memandangkan terlalu ramai jemaah telah berkumpul di Masjidil Haram. Ramai jemaah terpaksa solat di masjid lain. Salah satu masjid berdekatan hotel kami di Mekah juga penuh. Jemaah melimpah hingga di bawah dan atas jejantas dalam terik panas mentari. Subhanallah.....
Kami jemaah wanita memberi laluan kepada jemaah lelaki bersolat di masjid. Kami solat zohor di surau hotel dan bilik masing-masing bagi menjaga keselamatan, kesihatan dan fokus kepada persiapan wukuf di Arafah..... Allah! Permudahkanlah urusan haji kami, sesungguhnya kami hamba yang berdosa. Datang kepadamu untuk menyucikan diri dengan limpah perkenanmu.
Helikopter pemantau tak henti-henti berterbangan di ruang udara. Begitu juga dengan ambulan penyelamat tak henti-henti berkejar ke hospital menghantar jemaah yang kena strok haba dan masalah-masalah kesihatan lain.
Thursday, August 2, 2018
Hadirku Sebagai Dhuyufurrahman
May Allah SWT ease our journey.....
Alhamdulillah.... kami datang menerima jemputanmu Ya Allah.... justeru permudahkanlah bagi kami, kasihanilah kami, kurniakanlah kami Haji yg Mabrur.
Surat tawaran haji tahun 2018 diterima pada Disember 2017, seminggu sebelum kami sekeluarga berangkat menunaikan umrah.
Tak tergambar perasaan kami suami isteri. Allah jemput kami (aku, suami, abah & mak) bagi menunaikan Rukun Islam yang ke-5. Terima kasih Abah daftarkan kami suami isteri pada tahun 2008 dulu.Kami bersyukur....
Maka bermulalah siri kursus haji setiap hari Ahad.... kursus intensif (ada exam) dan kursus Perdana (praktikal 8,000 peserta di Masjid Negeri Shah Alam. Hati tu rasa takut, sedih, gusar dan macam-macam lagi. Ya Allah... Ya Tuhan Kami... Permudahkanlah bagi kami.
(Pakaian ihram nak pergi kursus perdana)
Maka.... kenduri doa selamatpun diadakan memohon kpd Allah SWT semoga beroleh haji mabrur.
Saudara dan sahabat handai yang mengucapkan selamat jalan dan menitipkan doa.... di rumah dan Movenpick Convention Centre pada tanggal 21 Julai 2018. Penerbangan kami dijadualkan pada awal pagi 22 Julai 2018.
Pada jam 1 pagi kami diiring memasuki kaunter check in. Jemaah haji tahun 2018 begitu bertuah kerana kumpulan pertama melapor diri di Kompleks TH yang baharu. Proses Check in dan imigresen dibuat di sini dan berjalan dengan lancar dimulakan dengan pemberian passport kepada jemaah, luggage check in, scan sepuluh jari dan ambil gambar. Kami diberi taklimat di dalam dewan yang selesa. Di belakang dewan terdapat kaunter penyimpanan wang TH dan juga kaunter pembayaran dam. Semua kemudahan dan proses yang berjalan amat membantu jemaah. Syabas TH!
Kami dimaklumkan bahawa penerbangan kami pagi itu ditangguhkan kerana lapangan terbang Madinah terlalu padat jadual kapal terbang membawa jemaah mendarat. Lalu kami diberi penginapan Hotel Movenpick KLIA. Masuk hotel jam 2 pagi dan kami perlu melapor diri semula di kaunter Check in jam 6 pagi. Selepas taklimat jam 6.30 pagi, kami dibawa menaiki bas ke KLIA, terus ke tempat penerbangan antarabangsa untuk menunggu penerbangan jam 9.00 pagi. Bas kami diiring oleh polis trafik.... ala-ala mengiring VVIP.
(Sarapan pagi disediakan oleh TH sementara menunggu menaiki penerbangan)
Subscribe to:
Posts (Atom)